UMK lancar tabung bantu haiwan jalanan

Iklan
Arham (kiri) beramah mesra bersama seorang pemilik kucing yang hadir untuk menempatkan haiwan kesayangannya di hotel kucing CATeL.

PENGKALAN CHEPA - Pelancaran Tabung Endowmen Kebajikan Haiwan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membolehkan lebih banyak haiwan terbiar di negeri ini mendapat pembelaan.

Tabung yang digerakkan oleh Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dengan bantuan Malaysian Animal Welfare Foundation (MNAWF) akan dimanfaatkan melalui aktiviti kemasyarakatan FPV.

Iklan
Iklan

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Profesor Dr Arham Abdullah berkata, tabung berkenaan menjadi sebahagian usaha menyelamatkan haiwan jalanan termasuk kucing dan anjing.

"Paling utama, tabung itu juga bertujuan memandulkan haiwan jalanan termasuk kucing dan anjing bagi mengurangkan populasi selain untuk rawatan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Makmal Pengajaran Haiwan Kesayangan (CATeL), Fakulti Perubatan Veterinar UMK dan Tabung Endowment Kebajikan Haiwan Fakulti Perubatan Veterinar pada Sabtu.

Hadir sama, Dekan FPV UMK, Dr Mohd Farhan Hanif Reduan.

Iklan

Arham berkata, kebajikan haiwan menjadi isu yang kerap dilaporkan di negara ini termasuk penganiayaan dan pemerdagangan haiwan liar.

Katanya, sebagai universiti kedua di negara ini yang menawarkan program Doktor Perubatan Veterinar, FPV berupaya memperjuangkan kebajikan haiwan yang memerlukan bantuan.

"Tabung ini juga akan mengumpul dana daripada orang awam serta organisasi luar termasuk klinik haiwan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Sementara itu, tambah beliau, penubuhan CATeL yang turut menawarkan perkhidmatan hotel kucing akan beroperasi sebagai tempat penjagaan kucing harian yang mengutamakan kebersihan, keselesaan dan keselamatan haiwan itu.

Katanya, pusat itu juga menawarkan tatarias kucing atas permintaan pelanggan.

"Kami menjangkakan sebanyak 1,000 hingga 2,000 kucing setahun ditempatkan di CATeL," katanya.