Pelancong Perancis meninggal dunia ketika daki Gunung Jasar

Iklan
Mangsa dilaporkan pengsan ketika mendaki Gunung Jasar dekat Cameron Highlands pada Ahad. - Foto ihsan JBPM

CAMERON HIGHLANDS - Seorang pelancong Perancis meninggal dunia selepas dilaporkan pengsan ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Jasar di sini pada Ahad.

Mangsa, Branchu Marc Antoine, 52, mendaki gunung tersebut bersama kumpulan pelancong asing lain yang terdiri daripada empat rakyat Perancis, empat rakyat Itali, seorang rakyat Norway dan seorang pemandu pelancong bermula jam 8.20 pagi.

Iklan
Iklan

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.28 pagi yang memaklumkan terdapat seorang lelaki rakyat Perancis tidak sedarkan diri ketika mendaki gunung tersebut.

Menurutnya, seramai lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands bersama tiga anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat.

Iklan

"Tindakan awal yang dilakukan adalah memberi bantuan pernafasan kepada mangsa yang pengsan namun tiada tindak balas.

"Anggota bomba kemudiannya bertindak membawa mangsa turun dengan menggunakan pengusung. Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Zulfadli berkata, mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini.