RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 wajar disokong

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

PADA Khamis lalu, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti diluluskan di Dewan Rakyat dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Sementara itu pada hari ini, satu lagi RUU yang mendapat perhatian banyak pihak iaitu RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 bakal dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi bacaan pertama.

Iklan
Iklan

Ia dianggap penting kerana melibatkan soal kesihatan rakyat khususnya generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya kerana ada peruntukan melarang individu membeli, merokok dan memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Di bawah RUU itu juga, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

Iklan

Menurut Khairy, sejumlah 2 juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian serta keilatan disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya RUU tersebut berkuat kuasa.

Apa yang diharapkan ialah RUU Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 ini bakal mendapat sokongan padu daripada ahli Dewan Rakyat sama seperti RUU Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti biarpun ada syarikat rokok melobi ahli Parlimen mengenai RUU itu.

Iklan

Mengikut The Framework Convention on Tobacco Control, syarikat tidak boleh melobi atau campur tangan dalam perundangan mana-mana negara tentang kawalan tembakau.

Walaupun ada yang menyatakan RUU tersebut akan memberi kesan kepada ekonomi negara tetapi berdasarkan kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), industri tembakau hanya mengurangkan 0.18 peratus sahaja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sebaliknya, negara kehilangan produktiviti akibat rokok adalah lebih tinggi berbanding kesan kepada ekonomi daripada sudut keilatan.

Ia membuktikan bahawa mereka yang terlibat dalam industri rokok adalah kecil dan jumlah pasaran akan mengecil secara berperingkat dengan mengambil masa 20 hingga 30 tahun.

Mengambil kira data mengenai 400 kematian setiap minggu dan RM6.2 bilion bagi kos perubatan yang ditanggung kerajaan bagi merawat pesakit akibat merokok pada 2020 berbanding kutipan cukai produk tembakau RM3 bilion, RUU ini wajar disokong oleh semua wakil rakyat di Parlimen demi kebaikan generasi akan datang.