Turkiye harap Rusia, Ukraine laksana perjanjian eksport bijirin

Iklan
Recep Tayyip Erdogan - Foto Kremlin/dpa

ANKARA - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin menggesa pihak-pihak yang menandatangani perjanjian pada minggu lepas supaya menghapuskan sekatan eksport bijirin Laut Hitam Ukraine bagi menghormati perjanjian itu.

"Kami menjangkakan semua pihak untuk bertindak mengikut persetujuan yang telah dicapai," kata Erdogan dalam temu bual secara langsung dengan penyiar nasional TRT Haber, lapor Agensi Anadolu.

Iklan
Iklan

"Menerusi perjanjian ini, kesan krisis makanan global akan mula reda,” tambahnya.

Pada Jumaat, Turkiye, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rusia dan Ukraine menandatangani perjanjian untuk menyambung semula eksport bijirin melalui pelabuhan Ukraine di Odesa, Chernomorsk dan Yuzhny selepas beberapa bulan terhenti akibat krisis Rusia-Ukraine.

Iklan

Di bawah perjanjian itu, pusat penyelarasan bersama telah ditubuhkan di Istanbul untuk menjalankan pemeriksaan di pintu masuk dan keluar pelabuhan, serta memastikan keselamatan laluan untuk kapal-kapal.

Mengulas mengenai pelabuhan Odesa telah diserang pada hujung minggu lalu, Erdogan berkata peristiwa itu menyedihkan Turkiye, sambil menambah bahawa"kegagalan di sini akan memberi kesan kepada kita semua." - Bernama

Iklan