Perubahan iklim antara punca kebakaran hutan di Portugal

Iklan
Sebuah pesawat hidro mencurahkan air bagi memadamkan kebakaran hutan di La Orotava, Tenerife, Pulau Canary, Sepanyol. - Foto EPA

LISBON - Gelombang haba yang mencatat rekod tertinggi di Portugal sejak kebelakangan ini menjadi petanda kepada kesan perubahan iklim dan kebakaran hutan kebanyakannya disebabkan kelemahan pengurusan perhutanan, menurut pakar.

Ahli geofizik dan penyelidik alam sekitar Filipe Santos berkata, gelombang haba yang teruk di Portugal tahun ini berlaku ketika musim kemarau yang melampau dan kekurangan hujan berbanding kebiasaan.

Iklan
Iklan

"Kemarau yang melampau semakin kerap berlaku bukan sahaja di rantau Mediterranean Eropah tetapi juga di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, saintis atmosfera Pedro Soares berkata, ia juga berpunca daripada kekurangan kadar hujan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Iklan

"Analisis iklim mendapati penyejatan (kehilangan air dari tanah akibat penyejatan dan transpirasi daripada daun) dan hujan yang berkurangan sebagai punca utama di sebalik pemanasan global," katanya.

Cara terbaik untuk meminimumkan kesan negatif adalah dengan mengamalkan dasar tindakan iklim dan memperhebat pengurangan pelepasan gas rumah hijau melalui pelaksanaan perjanjian antarabangsa sedia ada dengan lebih berkesan.

Iklan

"Setiap individu boleh menyumbang dengan memilih jenis mobiliti yang lebih mampan dan pemilihan makanan serta penggunaan tenaga lebih cekap," katanya.

Helena Freitas, profesor biodiversiti dan ekologi di Universiti Coimbra, memberitahu Xinhua bahawa kebanyakan hutan di Portugal tidak diurus dengan baik.

Kaedah untuk memanfaatkan tanah terbiar adalah antaranya dengan menanam pokok yang tinggi kualitinya, kata Santos.

"Kita juga perlu menghargai sumbangan hutan kepada kitaran air.

"Pokok bertindak menyimpan air di dalam tanah, mencegah hakisan dan mengasingkan gas karbon dioksida (CO2) dari atmosfera, sekali gus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan perubahan iklim," katanya. - Bernama