Dua pengawal keselamatan didakwa bunuh ahli perniagaan

Iklan

KUALA LUMPUR - Dua pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan yang ditemukan terbaring berlumuran darah berhampiran keretanya yang diletakkan di luar kawasan perumahan.

M.Hariadasan, 28, dan G.Sathorohgunosing, 32, didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas membunuh Goh Chok Chuan, 63, di parkir kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, antara 11.40 malam hingga 11.55 malam, 11 Julai lepas.

Iklan
Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Iklan

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 29 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Julai lepas, media melaporkan Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten KOmisioner Amihizam Abdul Syukor dalam kenyataan berkata, saksi kejadian mendengar tiga das tembakan dilepaskan sebelum menemukan mayat mangsa.

Iklan

Beliau berkata, lelaki berkenaan dikatakan bermain mahjung di rumah rakannya di Amarin Kiara dan dilapor ditembak berdekatan keretanya yang dipakir berhampiran pondok pengawal di luar kawasan perumahan itu. - Bernama