Rajin, berilmu, amanah kunci kejayaan: Dr Mahathir

Iklan
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama 'Kebangkitan Malaysia Sebagai Harimau Asia' sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM), malam ini. -Foto Bernama

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kunci kejayaan bagi sesebuah bangsa adalah rajin, berilmu dan amanah.

Katanya, warna kulit bukan penentu kepada kejayaan sebaliknya tiga faktor tersebut perlu ada dalam diri setiap individu.

Iklan
Iklan

"Saya berpeluang melihat negara lain selepas lulus dalam pendidikan dan mempunyai pendapatan. Saya ke Hong Kong pada 1960, kemudian ke Jepun dan seterusnya Eropah.

"Saya lihat rakyat mereka dari sudut pencapaian. Ada yang maju dan kurang maju walaupun berbeza warna kulit. Semuanya bergantung kepada budaya iaitu rajin, berusaha, dan amanah" katanya pada Ucaptama Kebangkitan Malaysia Sebagai Harimau Asia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Iklan

Menurutnya, beliau bertuah kerana berpeluang mengkaji tentang faktor kejayaan seseorang atau bangsa.

"Timbul juga persoalan adakah mereka yang kurang berjaya ini tidak dikurniakan kebolehan. Sebenarnya kita sama dan apa yang menyebabkan kita berjaya adalah nilai pegangan dalam hidup.

Iklan

"Saya dapati mereka yang berjaya semuanya rajin dan sanggup bekerja kuat. Walaupun tidak berpelajaran tetapi mereka berusaha kejar kejayaan itu. Mula-mula mungkin lalui kegagalan tetapi bila berulang kali lakukan pasti akan berjaya," katanya.

Berkongsi kisah sewaktu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Singapura pada 1940-an, Dr Mahathir mengakui beliau bukan seorang yang bijak tetapi dengan kesungguhan, beliau akhirnya berjaya.

"Masa mula- mula nak sambung pelajaran, keputusan saya tidak sebagus orang lain, malah ada yang kata lebih baik pulang ke kampung, saya rasa malu nak terima kegagalan.

"Saya fikir macam mana nak kejar orang pandai. Apa yang saya buat adalah belajar lebih kuat daripada yang lain. Saya ulang baca buku teks lebih 10 kali," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan kerana bangsa Melayu sedikit ketinggalan berbanding kaum lain.

"Sebenarnya kita boleh berjaya sama seperti orang lain kerana kebolehan kita sama sahaja. Kalau kombinasi rajin dan berjaya menguasai ilmu itu diadun, ia akan membawa kejayaan.

"Saya minta generasi muda hari ini khususnya mereka yang berada di universiti, semai nilai ini kerana kejayaan itu bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk kaum, bangsa dan negara," katanya.

Tambahnya lagi, nilai amanah sangat penting dalam diri seseorang kerana ia adalah tuntutan dalam Islam.

"Kita patut malu jika gagal. Jika dilihat Jepun, saya cukup kagum kerana daripada sebuah negara yang musnah kerana perang sekarang mereka telah maju.

"Jangan jadi bangsa apabila gagal dia masih boleh tersenyum. Lihat Jepun, mereka ada kualiti yang baik dalam perkara ini. Amanah ini adalah rasa tanggungjawab terhadap sesuatu perkara yang diberikan," katanya.

Dr Mahathir sempat menjentik hati penuntut Universiti dengan mengajukan persoalan adakah hutang perlu dibayar.

"Kalau kita tahu malu, kita akan berhempas pulas bayar (hutang). Kalau bangsa itu malas bayar hutang walaupun berjaya dalam sesuatu bidang, sebenarnya ia satu kegagalan.

"Bila kita buat janji, ia perlu ditunaikan kerana ia merupakan nilai yang ada dalam Islam," katanya.