LSS TNB mercu tanda Bukit Selambau

Iklan
Mukhriz diberi penerangan semasa melakukan lawatan ke ruang pameran sempena Majlis Pecah Tanah LSS di Pekan Bukit Selambau.

SUNGAI PETANI - Projek Solar Berskala Besar (LSS) Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM180 juta bakal memanfaatkan penduduk Bukit Selambau, sekali gus membangunkan kawasan pinggir bandar berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, projek yang membabitkan pemasangan 134,880 panel solar fotovoltaik di tapak seluas 50 hektar bakal menjadi mercu tanda Bukit Selambau yang boleh dibanggakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek berkenaan memberi erti yang sangat besar kepada negeri Kedah, khususnya penduduk di Bukit Selambau yang berjarak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Sungai Petani itu.

"Kita baru sahaja selesai menyempurnakan program terbesar dan berprestij Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) Langkawi 2019 yang berjalan lancar, antara lain, hasil sokongan dan kerjasama TNB dengan menyiapkan sistem automasi sepenuhnya pemantauan bekalan elektrik di Pulau Langkawi.

Iklan

"Saya difahamkan pemasangan sistem ini membolehkan TNB memantau dengan lebih rapi lagi bekalan elektrik di seluruh Pulau Langkawi dan bertindak pantas apabila ada gangguan dan sebagainya, dan tempoh masa pemulihan dapat dipendekkan.

"Hari ini, LSS di Bukit Selambau ini juga adalah satu lagi tanda hubungan baik kerajaan negeri dan TNB," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah LSS di Pekan Bukit Selambau, hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Leo Moggie.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar TNB tidak berhenti dengan hanya memajukan projek sedia ada bagi menghasilkan 30 (MW) tenaga elektrik kerana tanah kawasan tersebut masih luas.

"Kerajaan Negeri berharap agar TNB mengemukakan bidaan lagi bagi menambah kapasiti projek LSS di Bukit Selambau ini, yang mana saya difahamkan boleh mencapai penjanaan sehingga 100MW. Kami berharap TNB berjaya dalam bidaan itu nanti,"katanya.

Mukhriz menjelaskan, sebelum ini, Kedah turut mempunyai projek solar seperti di Kampung Bendang Perang, Pokok Sena namun projek Bukit Selambau ini adalah yang terbesar iaitu kira-kira lapan kali ganda dari segi saiz dan jumlah panel solar, sekali gus dari segi jumlah penjanaan tenaga.

"Jika TNB berjaya menambah projek LSS di sini, sehingga 100MW, ia pastinya menjadi mercu tanda Bukit Selambau sebagai pekan solar,"katanya.

Menurut Mukhriz, penduduk Bukit Selambau bertuah kerana bakal didedahkan dengan perkembangan teknologi masa kini, iaitu penghasilan tenaga elektrik menerusi cahaya matahari.

"Ia sejajar dasar kerajaan negeri yang menggalakkan pengembangan penggunaan tenaga suria ini sebagai sumber penjanaan.

"Dalam aspek teknologi, ia merupakan penjanaan tenaga hijau yang datang dari sumber semulajadi sekaligus bersifat mesra alam.

"Penjanaan sumber tenaga suria ini juga amat sesuai di Kedah, kerana kita antara negeri yang menerima banyak cahaya matahari," katanya.

Menurutnya, projek berkenaan berupaya menyumbang kepada strategi mensejahtera dan memakmurkan rakyat melalui peluang pekerjaan dan sumber ekonomi di samping meningkatkan pertumbuhan koridor ekonomi negeri.

Sementara itu, Leo Moggie berkata, kali pertama TNB dianugerahkan LSS oleh Suruhanjaya Tenaga adalah melalui proses bidaan terbuka di mana TNB telah membangunkan LSS terbesar di Malaysia di Sepang yang sudah menyumbang 50 megawatt (MW) kepada Grid Nasional.

"Melalui pengalaman itu, TNB berkeyakinan dapat menyempurnakan Projek LSS kedua di Bukit Selambau ini dengan kapasiti penjanaan 30 MW, dijangka siap dalam 24 bulan dengan tarikh sasaran operasi komersial pada 31 Disember 2020.

"TNB yakin ini merupakan lokasi tepat berikutan Kedah antara negeri yang banyak menerima cahaya matahari selepas Perlis berbanding negeri lain di semenanjung," katanya.

Beliau percaya, projek berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan limpahan kepada rakyat menerusi peluang pekerjaan ketika projek dibangunkan selain pelbagai aktiviti lain yang menyokong kerja-kerja LSS terbabit.

Beliau berkata, TNB komited ke arah mencapai keupayaan tenaga boleh baharunya (RE) sebanyak 1,700MW menjelang 2025 sejajar hasrat kerajaan mencapai 20 peratus sumber tenaga negara daripada RE, pada tahun sama.

Mukhriz diberi penerangan semasa melakukan lawatan ke ruang pameran sempena Majlis Pecah Tanah LSS di Pekan Bukit Selambau.