Bila dah banjir, payung pun tak berguna lagi

Iklan
Banjir bukan lagi boleh dianggap kejadian bermusim yang berlaku ketika musim tengkujuh timur laut sahaja. - Foto Bernama

INSIDEN banjir yang melanda beberapa buah kampung di daerah Baling pada petang Isnin pastinya menjadi igauan ngeri kepada penduduk dan penghuni rumah di kawasan tersebut.

Seperti dilaporkan media, lebih 20 rumah mengalami kerosakan dan tiga sekeluarga disahkan terkorban, dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir yang melanda Kampung Iboi, Baling.

Iklan
Iklan

Paling menyedihkan rumah mereka turut dihanyutkan dalam bencana itu.

Apabila terbaca berita mengenai kejadian banjir di mana-mana kawasan apatah lagi di kawasan berhampiran, penulis mula diserang ‘anxiety’.

Iklan

Bagi kawasan yang sering dinaiki air, penulis pasti setiap kali hujan lebih dua jam, penduduk sudah bersiap sedia untuk menghadapi situasi seperti itu.

Namun, bagi penulis yang pertama kali berdepan banjir besar dalam hidup pada 18 Disember tahun lalu, hujan yang lama daripada kebiasaan pastinya membuatkan fikiran tidak menentu.

Iklan

Penulis yang mudah terkena serangan panik akan ke hulu dan ke hilir memikirkan adakah bencana itu akan menimpa kawasan tempat tinggal dan automatik tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu.

Kini banjir bukan lagi boleh dianggap kejadian bermusim yang berlaku ketika musim tengkujuh timur laut sahaja.

Banjir besar yang menenggelamkan tempat tinggal didiami penulis dan beberapa kawasan tidak dijangka di Selangor tahun lalu membuatkan semua pihak perlu lebih bersiap sedia.

Namun apa yang mengecewakan penulis, tragedi yang menyebabkan kerugian ekonomi antara RM5.3 bilion dan RM6.5 bilion seperti didedahkan Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) seolah-olah dipandang enteng oleh pihak berwajib.

Pada 24 Jun lalu, kampung bersebelahan rumah penulis sekali lagi ditenggelami banjir selepas bencana besar melanda enam bulan lalu. Hujan lebih dua jam menyebabkan jalan-jalan utama tidak dapat dilalui kenderaan hingga menyebabkan rutin harian penduduk terjejas.

Hasil pemantauan ‘arkitek dan jurutera kampung’, paras sungai pada tahap biasa, namun parit dan saliran longkang seolah-olah seperti mati dan air tidak mengalir keluar.

Apa yang menyebabkan penulis terkilan, setelah lebih enam bulan kejadian berlaku, seolah-olah tiada tindakan drastik diambil pihak berwajib untuk menyelesaikan atau mengelakkan kejadian berulang.

Saliran longkang dipenuhi semak-samun dan nampaknya seolah-olah tiada usaha untuk mendalamkan sistem perparitan dan sebagainya.

Ketika banjir berlaku di kampung sebelah, dimaklumkan menerusi Facebook kampung bahawa kerja naik taraf pintu kunci air di kampung dihuni penulis seperti baru hendak dijalankan.

Namun melihat kepada struktur kerja yang dinaikkan hanya selepas hampir tujuh bulan banjir berlaku, penulis dapat membayangkan ia tidak mampu mengekang limpahan air jika hujan lebat.

Bak kata netizen yang memberi komen kepada kerja-kerja itu,"Ini kalau biawak langgar pun boleh roboh, tak perlu tunggu arus air sungai”.

Penulis berharap ketika awan masih cerah dan matahari memancarkan sinarnya, pihak berwajib dapat segera melaksanakan tebatan banjir yang sewajarnya sebelum mendung datang lagi.

Janganlah fikir, bila banjir bagi bantuan seribu dua akan ‘setel’ masalah dan menghilangkan kedukaan mangsa.

Sesungguhnya yang hilang bukan sahaja dalam bentuk kerugian harta benda namun ia lebih daripada itu terutama membabitkan emosi dan jiwa.

Memang selepas berlakunya banjir, ramai yang menasihatkan penulis agar berpindah ke tempat lain, namun bercakap memanglah amat mudah.

Apakah jaminan ‘tempat baharu’ penulis bakal berpindah itu tidak berdepan masalah.

Dan berapa ribu jumlah penduduk juga perlu berpindah hanya untuk lari daripada bencana itu.

Selepas berbulan-bulan (banjir berlaku) kini bukan lagi masa untuk berbincang, mengkaji tetapi untuk mengambil tindakan.

Dulu-dulu kita sering diperdengarkan dengan peribahasa, sediakan payung sebelum hujan.

Namun jika banjir sudah berlaku, pastinya payung tidak berguna lagi.

*Nur Farhana Abdul Manan ialah Editor Pengisian Sinar Harian