Bendung aktiviti kaut untung peniaga tidak bertanggungjawab

Iklan
Zuraida Kamarudin

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) gesa jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang baharu ditubuhkan kerajaan supaya meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti mengaut untung oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas mengenai segelintir peniaga yang menaikkan harga termasuk beberapa kes melebihi harga siling ditetapkan kerajaan.

Iklan
Iklan

"Kerajaan mesti dilihat bertindak tegas terhadap peniaga-peniaga ini dan mengambil tindakan terhadap mereka.

"PBM optimis bahawa usaha pelbagai kementerian ini dapat membantu membendung inflasi pada kadar yang boleh diurus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan langkah kerajaan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Pasukan khas dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa itu akan berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.

Iklan

Mengulas lanjut Zuraida berkata, rakyat perlu sedar bahawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah disebabkan sebahagian besar oleh faktor luaran seperti perang di Ukraine, gangguan rangkaian bekalan serta keadaan cuaca global yang tidak menentu.

Ujarnya, berbanding dengan negara lain termasuk negara maju, Malaysia mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membendung tekanan inflasi.

"Kerajaan juga patut diberi pujian kerana menetapkan harga siling ayam pada harga RM9.40 sekilogram.

"Dengan tidak membenarkan harga terapung, rakyat Malaysia masih akan dapat menikmati daging popular ini pada harga yang lebih berpatutan,” katanya