[VIDEO] Empat maut, ruang utama saksikan laga lembu runtuh

Iklan
Ruang utama gelanggang lembu jantan runtuh menyebabkan empat orang maut di El Espinal, Colombia pada Ahad. - Foto AFP

BOGOTA - Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 30 lagi cedera parah pada Ahad apabila ruang utama di gelanggang lembu jantan di pusat bandar El Espinal, Colombia runtuh semasa acara popular itu berlangsung.

"Terdapat empat orang mati pada masa ini (iaitu) dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak," kata gabenor Tolima, Jose Ricardo Orozco kepada stesen radio tempatan selepas kejadian itu berlaku.

Iklan
Iklan

Satu bahagian ruang utama tersebut yang diperbuat daripada kayu yang dipenuhi penonton runtuh menyebabkan berpuluh-puluh orang ke jatuh ke tanah, menurut imej yang disiarkan di media sosial.

Satu lagi video yang diambil oleh seseorang di tempat kejadian menunjukkan orang ramai cuba melarikan diri sementara seekor lembu jantan terus berkeliaran di arena laga haiwan tersebut.

Iklan

"Terdapat kira-kira 30 orang cedera parah... itu laporan awal," kata Orozco sambil menyatakan bahawa kakitangan kecemasan masih memindahkan mangsa-mangsa yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pegawai pertahanan awam tempatan, Luis Fernando Velez berkata, pihaknya tidak mengetahui tentang jumlah mangsa yang masih tertimbus di sebalik runtuhan.

Iklan

Presiden Colombia, Ivan Duque meminta siasatan dilakukan berhubung kejadian itu. - Agensi