Kutipan fi import ditangguhkan

Iklan
Kutipan fi import bagi empat komoditi makanan ternakan ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta. - Gambar iasan

PUTRAJAYA - Kerajaan menangguhkan kutipan fi import bagi empat komoditi makanan ternakan terdiri daripada jagung, soya, gandum dan komoditi proses berasaskan haiwan dan tumbuhan bagi tujuan penyediaan makanan ternakan berkuat kuasa serta-merta.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, langkah tersebut bagi memastikan sekuriti makanan dalam negara terjamin.

Iklan
Iklan

"Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan memudah cara prosedur import ke atas empat komoditi itu," katanya.

Sebelum ini kadar fi import ditetapkan bagi jagung, gandum dan soya bagi setiap permit adalah RM15 manakala RM20 bagi permit makanan ternakan lain berasaskan haiwan dan tumbuhan.

Iklan

MAFI berkata, Maqis juga akan melaksanakan proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara bagi komoditi tersebut dalam usaha melancarkan proses pengimportan dan sekali gus mengurangkan kos logistik yang terlibat dalam aktiviti pengimportan.

"Kos bahan mentah makanan ternakan yang tinggi dalam industri ternakan telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor kenaikan harga bahan makanan seperti ayam bulat di pasaran tempatan," katanya.

Iklan

Kementerian itu berkata, sebahagian besar komoditi bahan mentah bagi tujuan makanan ternakan iaitu soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan diimport dari luar negara.

"Penangguhan fi permit bagi pengimportan komoditi tersebut dapat membantu mengurangkan kos logistik dalam usaha menstabilkan harga makanan ternakan dalam negara," katanya.

Jamin MAFI, kementerian itu melalui Maqis akan terus komited dalam memudah cara urusan pengimportan bahan makanan ke dalam negara di samping memastikan semua kemasukan adalah bebas daripada isu-isu biosekuriti.

"Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai tatacara pengimportan atau pengeksportan komoditi pertanian dan agromakanan, boleh dikemukakan melalui e-mel kepada feedback@maqis.gov.my," katanya.