Pengangkutan awam percuma tidak selesai masalah penumpang: Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq

SHAH ALAM - Inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma semua pengangkutan awam kendalian RapidKL selama sebulan tidak menyelesaikan kemelut penumpang pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan harus realisitik dan berhadapan dengan masalah sedia ada yang sangat membimbangkan.

Iklan
Iklan

"Malah, ia tidak pun menjawab banyak aduan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam. Kerajaan harus menjawab persoalan yang masih lagi berbangkit walaupun subsidi RM155 juta ini diluluskan kerajaan.

"Pertama, adakah subsidi RM155 juta untuk tambang percuma ini dapat mengurangkan masalah kesesakan penumpang disebabkan kekerapan frekuensi jadual yang lama dan jumlah koc kereta api rendah?

Iklan

"Kedua, adakah subsidi RM155 juta ini dapat meningkatkan kualiti kemudahan awam di stesen-stesen kereta api yang bermasalah, tidak mesra orang kurang upaya (OKU) dan rosak?” soalnya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Khamis, Ismail Sabri mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan bermula hari ini bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL.

Iklan

Berita gembira itu disampaikan oleh Perdana Menteri sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu, pada Khamis.

Tambang percuma itu merangkumi perkhidmatan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel serta bas RapidKL.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berharap agar kerajaan dapat pertimbangkan tiga cadangan yang lebih pragmatik untuk membelanjakan peruntukan RM155 juta tersebut.

Jelas beliau, antaranya menambah jumlah kereta api dan koc kepada penumpang kerana ia berupaya untuk meningkatkan jumlah kapasiti pengguna dalam satu-satu masa.

"Malah, ia dapat meningkatkan kekerapan frekuensi kereta api untuk mengurangkan kesesakan penumpang,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar dapat menambah bas awam kerana jumlah penumpang yang bergantung kepada pengangkutan tersebut semakin ramai dan kesesakan serius berlaku apabila bas tidak mencukupi.

Dalam masa sama, kerajaan juga perlu menaik taraf kemudahan di setiap stesen kerana terdapat banyak aduan berkenaan stesen yang mempunyai masalah dalam menjaga kemudahan orang ramai termasuk kepada warga emas dan OKU.

"Isu keselamatan juga menjadi perhatian apabila lampu tidak bernyala, lantai basah kerana kebocoran siling dan lif yang tidak berfungsi.

"Tiga cadangan saya ini pasti dapat membantu lebih ramai penumpang untuk jangka masa yang panjang. Subsidi RM155 juta untuk tambang percuma pasti tidak dapat menyelesaikan masalah dasar yang dihadapi oleh penumpang pengangkutan awam.

"Saya juga bersedia untuk bertemu Perdana Menteri dan bawakan isu-isu berbangkit dari masalah pengangkutan awam negara,” ujarnya.