Bon Odori platform perkenal budaya Jepun kepada Malaysia

Iklan
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Zulfiqar)

SHAH ALAM - Festival Bon Odori yang akan diadakan pada Julai di Shah Alam, Selangor dan Pulau Pinang merupakan satu platform untuk memperkenalkan budaya Jepun kepada rakyat Malaysia.

Presiden Persatuan Alumni Bekas Pelajar Malaysia ke Jepun di bawah program Dasar Pandang ke Timur (ALEPS), Zulfiqar Zainuddin berkata, ia merupakan salah satu langkah untuk merapatkan lagi hubungan antara dua negara itu.

Iklan
Iklan

"Pandangan kami, pesta Bon Odori ini merupakan sekadar platform untuk memperkenalkan kebudayaan dan kesenian Jepun kepada rakyat Malaysia.

"Bagi ALEPS, salah satu teras persatuan kami adalah untuk memperkenalkan dan merapatkan hubungan di antara Malaysia Jepun. Dan salah satu caranya adalah perkenalkan budaya Jepun Ke Malaysia.

Iklan

"Jadi, pesta yang diadakan lebih dari 30 tahun di Malaysia ini adalah salah satu acara pihak Jepun memperkenalkan budaya mereka.

"Ia mempunyai acara yang luas seperti kesenian, makanan, pakaian dan permainan. Jadi rakyat Malaysia boleh tahu banyak acara dan kebudayaan Jepun dalam satu platform sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai Bon Odori di Kompleks Sukan Shah Alam pada 16 Julai ini kerana ia mengandungi unsur agama lain.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati perayaan itu mempunyai unsur keagamaan.

Pada Selasa, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan bahawa terdapat kebimbangan bahawa aktiviti tertentu yang diadakan semasa Bon Odori boleh membawa kepada syirik (syirik).

Namun begitu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar tidak menyekat penganjuran Bon Odori itu.

Jabatan itu dititah supaya tidak menghalang mana-mana individu daripada menghadiri program berkenaan.