Aspirasi Stong Geopark berpotensi diiktiraf Geopark Kebangsaan

Iklan
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyampaikan ucapan perasmian sempena lawatan kerja beliau ke Aspiring Stong Geopark Kelantan di Gua Ikan di Dabong, hari ini. - Foto Bernama

KUALA KRAI - Aspirasi Stong Geopark (ASG) berpotensi untuk diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pertama di Kelantan pada tahun ini kerana memiliki keunikan geologi dan landskap perbukitan batu kapur yang dilitupi ekosistem tumbuhan berbeza, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan RM300,000 di bawah Program Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli kearah Pembangunan Ekonomi Setempat tahun 2022 bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di beberapa geotapak yang telah dikenal pasti untuk mempromosikan kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Perancangan pembangunan di kawasan akan dilakukan secara teliti dan bersepadu dengan penglibatan semua pihak iaitu agensi persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan juga komuniti setempat, bagi memastikan impak projek ASG dapat dinikmati bersama.

"Kawasan ASG merangkumi kawasan di Dabong, Kuala Krai dan Jeli yang memiliki khazanah sejarah geologi yang unik dengan kepelbagaian biologi, warisan sejarah dan kekayaan sumber budaya setempat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ASG di Dabong, di sini pada Khamis, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains, Hisamuddin Termidi.

Takiyuddin berkata, kerajaan akan terus membantu negeri Kelantan dalam pembangunan Stong sebagai Geopark Kebangsaan dalam aspek saintifik, teknikal dan program kesedaran bersama komuniti.

"Selain itu, pengiktirafan geopark kebangsaan nanti akan memberi impak sektor pelancongan kepada negara dan membantu masyarakat setempat meneroka peluang ekonomi seperti menghasilkan produk makanan mahupun produk kegunaan domestik berasaskan bahan asli dari kawasan ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata, lima Geopark Kebangsaan setakat ini adalah Geopark Lembah Kinta dan Geopark Lenggong di Perak, Geopark Jerai (Kedah), Geopark Kinabalu (Sabah) dan Geopark Labuan (Wilayah Persekutuan Labuan). - Bernama