35 kanak-kanak gelandangan terima baju raya

Iklan
Asmadi (kiri) membantu memakai baju raya kepada salah seorang kanak-kanak daripada 35 penerima di gedung tekstil terkemuka di Bandaraya Kuantan pada Ahad.

KUANTAN - Seramai 35 kanak-kanak gelandangan di Lorong Wong Ah Jang di sini, menerima baju raya daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada Ahad.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sebanyak RM15,000 telah diperuntukkan bagi menyediakan keperluan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada peruntukan sama, 25 pelajar Orang Asli yang belajar di sekolah agama kerajaan Pahang turut menerima baju raya.

"Kita sediakan RM250 bagi setiap penerima bagi tujuan membeli sepasang baju Melayu dan kurung. Setiap tahun kita memang menyediakan baju raya kepada kanak-kanak komuniti Lorong Wong Ah Jang.

Iklan

"Bantuan terbabit bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak terbabit yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Selain itu, kita turut menyediakan pelbagai bantuan kepada komuniti Lorong Wong Ah Jang dalam usaha memastikan nasib golongan terbabit terus terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turut sama membantu memilih pakaian 35 kanak-kanak di gedung tekstil terkemuka di Bandaraya Kuantan pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Asmadi menjelaskan bantuan tersebut amat bermakna khususnya kepada golongan ini yang sebahagian daripadanya berada dalam keadaan daif.

"Semoga pertolongan (bantuan) ini sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak RM70,000 telah disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dapur Infaq Ummah untuk digunakan dalam urusan yang melibatkan golongan gelandangan termasuk penyediaan makanan.