Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada dagangan Khamis, dipacu oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah walaupun Wall Street mencatat prestasi semalaman yang bercampur-campur.

Pada 9.10 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.52 mata kepada 1,598.27 daripada 1,593.75 pada akhir dagangan semalam.

Iklan
Iklan

Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 4.64 mata kepada 1,598.39.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 199 berbanding 147 manakala 262 kaunter tidak berubah, 1,665 tidak diniagakan dan 16 lain digantung dagangannya.

Iklan

Jumlah dagangan sebanyak 250.01 juta yang bernilai RM82.06 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, saham-saham teknologi berkemungkinan mencatat penurunan daripada aliran kenaikannya baru-baru ini susulan kelemahan prestasi Nasdaq.

Iklan

"Bagaimanapun, peniaga mungkin memantau faktor pemangkin lain seperti pembukaan semula sempadan, kenaikan harga komoditi serta pemulihan aktiviti pembinaan bagi tujuan perdagangan," kata firma pembrokeran itu dalam nota tinjauannya, hari ini.

Menurutnya, komoditi menyaksikan harga minyak mentah melebihi paras US$105 setong manakala harga niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) kekal disokong pada RM6,300 satu tan.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Public Bank dan Press Metal menambah dua sen masing-masing pada RM8.82, RM4.67 dan RM6.57 manakala IHH Healthcare naik satu sen kepada RM6.53 dan Petronas Chemicals turun dua sen kepada RM10.28.

Bagi saham aktif, Vizione naik 1.5 sen kepada 11.5 sen manakala warannya tidak berubah pada 2.5 sen, Fitters susut satu sen kepada 13 sen, Techna-X turun setengah sen kepada 10.5 sen dan OCR tidak berubah pada 13 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBMT 100 naik 27.72 mata kepada 11,122.01, Indeks FBM Emas menokok 27.22 mata kepada 11,477.20, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 19.27 mata kepada 12,150.84, FBM 70 meraih 19.41 mata kepada 13,841.53 manakala FBM ACE susut 31.24 mata kepada 5,778.65.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.22 mata kepada 215.40, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 64.58 mata kepada 16,642.98 dan Indeks Perladangan menokok 33.57 mata kepada 8,640.95. - Bernama