KPWKM perlu buat garis panduan ketat hak penjagaan kanak-kanak

Iklan
Gambar kiri: Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Gambar kanan: Kenyataan media Muda pada Sabtu.

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) wajib mengambil tindakan segera dalam mengkaji kelayakan seseorang untuk mendapatkan hak penjagaan anak angkat terutamanya kanak-kanak istimewa.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam kenyataan berkata, garis panduan yang ketat perlu dikuatkuasakan bagi menilai latar belakang seseorang sebelum layak mendapat hak penjagaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu melakukan lawatan berkala ke rumah penjaga atau pusat jagaan kanak-kanak bagi mengetahui status kebajikan anak angkat tersebut.

"Kami mengikuti kes berkaitan seorang kanak-kanak Sindrom Down yang disyaki telah diabai dan didera oleh penjaganya dan kini sedang melalui perbicaraan di mahkamah.

Iklan

"Laporan mendakwa kanak-kanak ini bukan sahaja diikat kaki dan tangan, dicili bahkan mangsa juga disimbah dengan air panas sehingga melecur teruk ditubuh badannya. Paling menyedihkan mangsa dipaksa makan najis dan muntah sendiri,” katanya pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu, individu yang mempunyai rekod penderaan kanak-kanak perlu diletakkan dalam senarai khas seperti yang dilaksanakan di Amerika Syarikat iaitu 'Central Registries for Child Maltreatment'.

Iklan

"Amerika Syarikat mempunyai pangkalan data pusat di mana mengumpul maklumat tentang kanak-kanak yang dianiaya dan individu yang didapati telah mendera atau mengabaikan anak-anak mereka.

"Maklumat tentang pelaku akan digunakan dalam pemeriksaan latar belakang untuk urusan yang melibatkan kanak-kanak bagi menghalang mereka daripada berinteraksi dengan individu yang mungkin menganiaya mereka," katanya.

Menurut kenyataan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sepatutnya berperanan dalam menangani isu tersebut.

"Setakat ini, masih belum ada tindakan serius kerajaan dalam menangani isu ini. Malah setakat ini tiada kenyataan rasmi oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Kami percaya kanak-kanak wajib mendapat pembelaan yang sepatutnya. Kita perlu melindungi mereka dan orang kurang upaya selari dengan hak mereka. Undang-undang adalah penyelesaian utama dalam isu ini,” katanya.