Pertimbang beri dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara

Iklan
Musa Musa Hassan

SHAH ALAM - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berpendapat bahawa kerajaan perlu membuat pertimbangan bagi memberikan dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara.

Penasihatnya, Tan Sri Musa Hassan berkata, dengan dokumen sementara itu, sekurang-kurangnya golongan tersebut layak bersekolah dan mendapat pendidikan awal serta jagaan kesihatan yang sewajarnya.

Iklan
Iklan

"Isu berkenaan kanak-kanak tanpa warganegara atau yang berstatus bukan warganegara telah pun lama berlaku sejak dahulu lagi kerana semakin lama semakin ramai warga asing yang tinggal di negara ini.

"Namun, mereka tidak memiliki dokumen yang sah termasuklah yang telah berkahwin tetapi tidak mengikut prosedur yang dikehendaki menyebabkan mereka tidak memiliki salinan sijil perkahwinan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Jelas beliau, permasalahan tersebut berlanjutan sehingga kini tanpa penyelesaian dan mengakibatkan kesan yang besar kepada individu-individu terbabit.

"Antaranya, termasuklah berlakunya pencabulan kepada kewarganegaraan dan individu tanpa kewarganegaraan ini sering terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia yang lain,” ujarnya.

Iklan

Tambah beliau, baru-baru ini juga Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal memohon kepada pihak kerajaan agar negeri-negeri lain mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak.

Jelasnya, kerajaan Sarawak telah mengeluarkan dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara.

"Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam usaha progresif mereka dan memastikan pihak-pihak berkepentingan dalam hal ehwal pendidikan serta kesihatan mengiktiraf dokumen sementara terbabit,” katanya.

Tambah Musa, pemberian dokumen sementara itu juga perlu diberikan kepada anak yang tidak sah taraf di mana sebahagiannya berpunca daripada ibu bapa yang gagal mendaftarkan perkahwinan atau tidak mempunyai sijil nikah.

"Di sesetengah tempat mereka dahulunya berkahwin mengikut adat tersendiri dan kurang menitikberatkan kepentingan bagi mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat kerajaan,” ujarnya.

Justeru, MHO berharap agar pengeluaran dokumen sementara kepada kanak-kanak tersebut pada masa akan datang tidak hanya tertumpu di Sabah dan Sarawak tetapi di Semenanjung Malaysia juga kerana terdapat kanak-kanak yang turut mengalami permasalahan yang sama.