Kuat kuasa Undang-undang Anti Lompat Parti secara pemecatan: Pakar

Iklan
Chin Huat

PETALING JAYA - Undang-undang berkenaan Anti Lompat Parti yang bakal ditubuhkan perlu menggunakan kaedah pemecatan (recall) berbanding cara tradisional kerana ia bersifat menyeluruh.

Saintis politik dari Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC), Sunway University, Profesor Dr Wong Chin Huat berkata, ini kerana undang-undang tersebut secara keseluruhan hanya bergantung kepada rakyat tanpa campur tangan politik.

Iklan
Iklan

Sementara itu, katanya, bagi undang-undang Anti Lompat Parti Tradisional pula ia memberi mandat sepenuhnya kepada pimpinan sesebuah parti.

"Saya lebih galakkan Undang-undang Anti Lompat Parti secara pemecatan. Kita mahu beri kuasa penuh kepada rakyat. Maksudnya, rakyat yang menentukan sama ada wakil mereka layak untuk duduk kerusi itu lagi atau tidak.

Iklan

"Kalau rakyat tidak suka, maka baharu lah boleh lakukan Pilihan Raya Kecil (PRK). Jadi, ini berbeza dengan cara tradisional yang mana secara automatik kerusi terbabit dikosongkan dan saya kurang bersetuju dengan cara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menghadiri 'Media Workshop on Anti Hopping Law' di sini pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, apabila Anti Lompat Parti Tradisional digunakan, presiden parti akan mempunyai kuasa penuh dan boleh bertindak untuk membuang ahli bagi memberi laluan kepada PRK untuk diadakan.

"Jika tradisional, ia bahaya kerana dikhuatiri ahli yang dipecat disebabkan pemimpin dan bukannya kerana wakil rakyat tersebut. Ia juga membenarkan presiden yang mengawal parti, walaupun dia yang membelakangkan rakyat,” ujarnya.

Pada masa sama, Chin Huat berharap agar undang-undang Anti Lompat Parti yang akan digunakan di peringkat Persekutuan tidak memaksa untuk dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri.

"Biar sahaja ia di peringkat Persekutuan, cuma di peringkat negeri hanya digalakkan untuk melakukannya. Tidak boleh paksa kerana ia akan lebih menyukarkan nanti jika ada negeri yang tidak bersetuju,” ujarnya.

Selain itu, Chin Huat turut menggesa agar Jawatankuasa Khas Parlimen yang dilantik perlu mendengar suara dari semua lapisan masyarakat berkenaan undang-undang Anti Lompat Parti.

"Ini supaya penyelesaian yang dibuat ini dapat memuaskan kebanyakan pihak walaupun ada yang tidak bersetuju.

"Kalau mereka dengar sebelah pihak sahaja ia dianggap tidak adil dan mungkin apa yang dicapai nanti akan ditolak rakyat serta dikecam apabila ada masalah,” katanya.