Polis lepaskan tembakan selepas cuba dirempuh

Iklan
Polis berjaya menahan dua suspek disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan dan merampas sebuah Perodua Myvi dengan kesan tembakan.

KAJANG - Sepasukan anggota polis dari Balai Sungai Long di sini terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah Perodua Myvi yang hampir merempuh mereka dalam cubaan meloloskan diri selepas enggan berhenti untuk diperiksa pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian sekitar jam 2 pagi tersebut, tiga anggota berkenaan sedang membuat rondaan cegah jenayah, cuba untuk menahan Perodua Myvi berwarna merah yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek bertindak memecut laju selepas diarahkan berhenti oleh anggota polis berkenaan dan berlaku kejar mengejar antara mereka dalam jarak dianggarkan sekitar tiga kilometer (km).

"Sepanjang kejadian kejar mengejar suspek telah beberapa kali cuba menghimpit anggota yang menaiki motosikal ketika itu.

Iklan

"Setibanya di sebatang jalan mati, suspek tetap enggan memberhentikan kenderaan dan bertindak membuat pusingan U lalu cuba merempuh ketiga-tiga anggota polis.

"Akibat rasa terancam anggota polis telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek untuk mempertahankan diri. Namun suspek berjaya meloloskan diri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, hasil pemantauan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan suspek seorang lelaki warga asing dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut, di sekitar Bandar Sungai Long di sini pada Khamis.

Mohd Zaid berkata, beberapa individu masih dikesan untuk membantu siasatan dan polis akan membuat permohonan reman ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Kajang pada Jumaat.

"Turut dirampas ialah sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi warna merah yang mempunyai kesan tembakan, disyaki terlibat di dalam kes ini,"ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan.