PUTRAJAYA - Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin hadir semula ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berkaitan notis isytihar harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 pada Rabu.
Beliau berkata, tindakan itu disifatkan sebagai bentuk intimidasi seperti mana yang pernah dilakukan terhadap beberapa pemimpin sebelum ini.
"Kemudian, umum tahu bahawa duit RM10 juta tersebut tidak hilang. Jadi, dari awal SPRM telah membina naratif jahat terhadap saya, membunuh karakter saya," katanya kepada pemberita selepas tiba di ibu pejabat agensi itu kira-kira jam 10.50 pagi.
Bagaimanapun jelas Nazir Hussin, pihaknya telah memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bagi mencabar notis berkenaan.
Jelasnya, pihak mahkamah perlu melihat perkara ini dengan lebih teliti.
Sebelum ini, Nazir Hussin dan abangnya direman lima hari sehingga 6 Oktober lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan menyeleweng dan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.
SPRM kemudian membebaskan abang kepada Nazir Hussin dengan jaminan setelah tempoh remannya tamat, manakala Nazir Hussin disambung dua hari lagi sehingga 7 Oktober.
Susulan penahanan dua tokoh tersebut, SPRM menyita 15 unit kereta mewah bernilai kira-kira RM31 juta, 12 unit motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM5 juta, lima unit jam tangan mewah, tiga unit gelang tangan dan wang tunai berjumlah kira-kira RM30,000.
Selain itu, SPRM turut membekukan dua akaun peribadi bernilai kira-kira RM2 juta.