Pengarah Eksekutif Sapura dibayar RM983 juta ketika Najib jadi PM: Rafizi

Iklan
Rafizi Ramli

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa, Pengarah Eksekutif Sapura Energy Bhd (SEB) diberi bayaran anggaran RM983 juta bermula 2009 hingga 2018 ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, pembayaran tersebut adalah dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek yang secara jelas tidak adil kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Iklan
Iklan

Bekas Ahli Parlimen Pandan turut mempersoalkan mengapa Najib tidak bersuara untuk ribuan pekerja dan pihak berkepentingan Sapura ketika itu sedangkan beliau kelihatan begitu lantang mengenai kebajikan mereka sekarang.

Rafizi berkata, Sapura membuat lebih RM1 bilion pembayaran dari 2009 hingga 2021 kepada pengarah eksekutif, melibatkan gaji, bonus dan upah (RM508,717,000), sewa kepada syarikat berkaitan pengarah eksekutif (RM149 juta) dan yuran harta intelek (IP) kepada syarikat berkaitan pengarah eksekutif (RM439 juta).

Iklan

"Dalam tempoh sama (2009 hingga 2021), Sapura membayar dividen sebanyak RM683 juta kepada pemegang-pemegang saham. Daripada jumlah itu, sekitar 35 peratus dividen dibayar kepada pemegang saham majoriti yang diwakili pengarah eksekutif yang mengetuai Sapura.

"Oleh itu, anggaran bayaran keuntungan kepada pemegang saham majoriti (yang diwakili pengarah eksekutif) dalam bentuk gaji, sewa, yuran harta intelek dan dividen adalah sekitar RM1.33 bilion.

Iklan

"Ia berbeza berbanding hanya RM440 juta yang diagihkan kepada pemegang saham lain seperti PNB dan KWAP. Nisbah keuntungan yang dikaut oleh pemegang saham terbesar yang diwakili pengarah eksekutif sekitar tiga kali ganda, berbanding yang diagihkan kepada pemegang saham lain yang dimiliki rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib perlu memikul amanah dan memberi hala tuju serta memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai terbaik dari pelaburan mereka.

"Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu? soalnya.

Sapura sebelum ini mengumumkan kerugian RM8.9 bilion tahun lepas dan ia merupakan kerugian terbesar bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Najib dilaporkan berkata, kerajaan perlu segera membantu SEB menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara.

Dalam masa sama, Rafizi menegaskan bahawa sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir yang lemah.

"Sekiranya syarikat-syarikat swasta ada talian hayat (dengan diselamatkan oleh wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing.

"Najib telah mengambil kesempatan untuk kelihatan seperti hero kepada rakyat untuk menyelamatkan diri apabila dia sudah pun dijatuhkan hukuman penjara,” katanya.

Rafizi menambah, mulai Jumaat, beliau akan membentangkan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan Sapura keluar dari kemelut kewangan sekarang dan mengelakkan ribuan kakitangannya kehilangan kerja.