[VIDEO] Gagal lapor suapan, pembantu penguat kuasa didenda RM2,000

Iklan
Tertuduh ketika dibawa keluar dari kamar perbicaraan.

JOHOR BAHRU - Seorang pembantu penguat kuasa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas satu pertuduhan gagal melaporkan suapan berjumlah RM700 yang diberikan kepadanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Basri Bonari, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Iklan
Iklan

Menurut pertuduhan, Muhammad Basri yang merupakan penjawat awam Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diberikan wang suapan bernilai RM700 oleh seorang individu daripada sebuah syarikat menjalankan perniagaan barang kawalan di Muar.

Wang suapan itu adalah bagi memastikan tertuduh tidak mengambil apa-apa tindakan yang mana tertuduh kemudiannya telah gagal melaporkan pemberian sogokan berkenaan kepada SPRM.

Iklan

Kesalahan dilakukan di stor syarikat berkenaan di Muar pada jam 4.55 petang, 10 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang boleh memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Iklan

Dalam prosiding itu, peguam tertuduh, Tan Song Yan memohon mahkamah meringankan hukuman serta memohon tidak mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh mengaku salah dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

Manakala, Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin pula mencadangkan mahkamah menetapkan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana perbuatannya itu boleh menjejaskan reputasi agensi berkenaan.

Hakim kemudiannya, menetapkan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.