Momentum pertumbuhan ekonomi perlahan akibat konflik geopolitik

Iklan
Mohd Uzir

KUALA LUMPUR - Indeks Pelopor (IP) Malaysia, alat yang digunakan untuk menjangka kenaikan dan penurunan ekonomi bagi purata empat hingga enam bulan ke hadapan, menunjukkan momentum pertumbuhan ekonomi negara akan menjadi lebih perlahan, antaranya akibat konflik geopolitik.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), IP tersebut kekal melebihi 100.0 mata pada 110.1 mata semasa Januari 2022, dengan IP tahun ke tahun meningkat 0.02 peratus, disokong terutamanya oleh bilangan syarikat baru didaftar.

Iklan
Iklan

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prospek tersebut selari dengan pembukaan semula sepenuhnya sempadan antarabangsa apabila negara memasuki fasa peralihan endemik, di samping pelaksanaan gaji minimum baharu kepada RM1,500 yang dijangka meningkatkan penggunaan dan menyokong permintaan domestik.

"Bagaimanapun, konflik geopolitik (Rusia-Ukraine) dan sekatan pergerakan di bandar-bandar utama China menjejaskan prospek ekonomi jika kedua-dua insiden itu berlarutan,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, IP bagi bulan ke bulan menyusut 1.2 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Disember 2021, terutamanya dipengaruhi oleh import benar semi konduktor (-0.6 peratus) dan bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-0.5 peratus).

Sementara itu, DOSM berkata, penyebaran pantas varian Omicron dijangka tidak memberi kesan yang ketara terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

Iklan

Menurutnya, Indeks Serentak (IS) pada Januari 2022 meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun kepada 117.4 mata berbanding 111.3 mata pada Januari 2021 dan tinggi 2.5 peratus bulan ke bulan berbanding 114.5 mata pada Disember 2021.

Kenaikan tersebut didorong oleh peningkatan dalam kapasiti penggunaan bagi sektor pembuatan (2.7 peratus), indeks kuantiti perdagangan runcit (0.2 peratus) dan nilai caruman benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (0.1 peratus). - Bernama