Kakitangan INSTEP sumbang lebih RM14,000 bantu persiapan murid

Iklan
Idris (tengah) menyampaikan sumbangan keperluan sekolah kepada Guru Besar SK Darat Batu Rakit, Mohd Johari Jusoh (kiri).

KUALA NERUS – Kakitangan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) menyumbangkan lebih RM14,000 bagi membantu persiapan 2,772 murid sempena pembukaan sekolah tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, sumbangan menerusi Program Kembali ke Sekolah (BTS) 2022 itu merupakan hasil kolaborasi antara Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) dan Jabatan Komunikasi Strategik INSTEP yang melibatkan lapan buah sekolah rendah di kawasan Batu Rakit, Terengganu.

Iklan
Iklan

"Program yang adalah hasil kolaborasi BAKIP dan Jabatan Komunikasi Strategik INSTEP yang melibatkan sumbangan oleh kakitangan INSTEP berjumlah lebih RM14,000.

"Antara sumbangan diberikan ialah alat tulis, pengimbas suhu, pelitup muka, kit sanitasi dan bahan bacaan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik)," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Selasa.

Iklan

Idris sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada guru besar lapan sekolah terlibat dalam majlis ringkas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Nerus.

Hadir sama, Pegawai PPD Kuala Nerus, Hamid Yahya, dan wakil Pegawai PPD Setiu, Mohd Yasmin Yusof.

Iklan

Idris berkata, bantuan Kembali ke Sekolah merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan INSTEP.

"Sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga dan sekolah dalam menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi pembelajaran 2022 disamping menyuntik semangat murid untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Ia membuktikan keprihatinan dan tanggungjawab kami dalam menyumbang kepada agenda kelestarian pendidikan untuk kesejahteraan masyarakat," katanya.

Antara sekolah yang menerima sumbangan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi, SK Batu Rakit, SK Darat Batu Rakit, SK Maras, SK Pechah Rotan, SK Bukit Wan, SK Lembah Bidong, dan SK Merang.