Deepavali Fest 2026 semarak perpaduan, tonjol keunikan budaya India

Iklan
Deepavali Fest 2026 yang dirasmikan oleh Dr Gunarajah pada Sabtu menghimpunkan seramai 110 peniaga.

KOTA DAMANSARA – Sambutan Deepavali bukan sekadar perayaan cahaya, malah menjadi medium penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan, mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum serta memperkenalkan keunikan budaya India kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pemasaran ASC Agenda Suria Communication Sdn Bhd, Vithya Shaline berkata, penganjuran Deepavali Fest 2026 di Strand Mall bertujuan menghidupkan kemeriahan perayaan itu menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan, hiburan dan pengalaman membeli-belah yang inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, festival yang berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober 2026 itu turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali dan menghayati tradisi masyarakat India dalam suasana mesra keluarga.

“Deepavali melambangkan cahaya, harapan dan kebersamaan. Kami mahu Deepavali Fest 2026 menghidupkan semangat itu dengan menyediakan ruang yang mengalu-alukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali dan menghargai budaya India.

Iklan

“Melalui aktiviti membeli-belah, persembahan tradisional, aktiviti interaktif serta kepelbagaian hidangan di Spice & Sizzle Indian Food Bazaar, kami berharap festival ini dapat memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Deepavali Fest 2026 yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunarajah R George pada Sabtu.

Iklan

Festival berkenaan menghimpunkan 110 peniaga dengan sasaran kehadiran kira-kira 40,000 pengunjung sepanjang tempoh tiga hari penganjurannya.

Mengulas lanjut, Vithya berkata, festival itu bukan sahaja menawarkan pengalaman sambutan Deepavali yang meriah kepada orang ramai, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pasaran lebih luas.

Menurutnya, penganjuran program seumpama itu mampu membantu peniaga menjangkau pelanggan baharu dan memanfaatkan peluang perniagaan sempena musim perayaan.

“Matlamat kami juga adalah untuk menyediakan platform kepada usahawan tempatan mempamerkan produk mereka, menjangkau pelanggan baharu dan meraih manfaat daripada musim perayaan.

“Paling penting, kami mahu keluarga dan sahabat menikmati masa berkualiti bersama-sama, di samping memastikan tradisi terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha memperkenalkan budaya dan tradisi pelbagai kaum kepada masyarakat penting bagi memastikan kepelbagaian warisan negara terus dihargai dalam suasana harmoni.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Berhad, Ahmad Harzimi Mohd Taib berkata, pusat beli-belah masa kini bukan lagi sekadar destinasi membeli-belah, sebaliknya berfungsi sebagai ruang komuniti yang menghimpunkan masyarakat untuk pelbagai aktiviti.

Menurut beliau, Strand Mall komited menyediakan persekitaran yang terbuka dan mesra komuniti di Kota Damansara melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dalam menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.