'Hilang selepas lahirkan anak'

Iklan
Natroh meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya memaklumkan pihak JKM bagi memudahkan proses daftar lewat kelahiran kanak-kanak berkenaan.

SUNGAI PETANI- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda sedang menjejaki seorang wanita warganegara Indonesia yang menghilangkan diri selepas melahirkan anak lelaki, tiga tahun lalu.

Pegawai Pelindung Kanak-kanak Daerah Kuala Muda, Natroh Ahmad berkata, wanita berkenaan dikenali sebagai Leviani berusia 34 tahun beralamat terakhir di Taman Gurun Jaya di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, wanita itu telah melahirkan bayi lelaki di Putra Medical Centre, Alor Setar, Kedah, pada 11 Mac 2019.

Gambar ibu kandung kepada Muhammad Akram Waiz yang dikenali sebagai Leviani, dicari.

"Kanak-kanak itu telah ditinggalkan di mana ibu kandung menghilangkan diri, sehingga kini masih belum ditemui.

Iklan

"Maklumat telah dimaklumkan kepada kedutaan Indonesia dan disampaikan kepada keluarga asal bagaimanapun, tidak dapat dijejaki sehingga kini.

"Bayi tersebut telah diselamatkan dan kini berada dalam perlindungan JKM," katanya.

Iklan

Menurutnya, kanak-kanak yang diberi nama Muhammad Akram Waiz itu masih belum mendaftar sijil kelahiran berikutan terdapat dokumen pengesahan yang belum lengkap.

Katanya, tujuan kenyataan dibuat adalah untuk memudahkan proses daftar lewat kelahiran dan memenuhi syarat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pejabat JKM Kuala Muda di talian 04-4204900.