Kerajaan negeri perlu beri keutamaan projek Persekutuan

Iklan
Ismail Sabri (lima dari kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138.

SHAH ALAM - Kerajaan negeri perlu memberikan keutamaan dan menyegerakan kelulusan permohonan pengambilan tanah bagi projek kerajaan Persekutuan.

Itu antara keputusan yang telah dibuat dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138 pada Selasa yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Iklan
Iklan

Ismail Sabri berkata, mesyuarat itu juga turut membincangkan berkenaan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi memastikan agenda kesejahteraan Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan.

Menurutnya, antara agenda perbincangan ialah komitmen bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung perolehan tanah untuk pelaksanaan pembangunan kerajaan berkepentingan awam.

Iklan

"Kerajaan bertanggungjawab menyediakan kemudahan infrastruktur yang berkualiti untuk kemudahan Keluarga Malaysia bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan isu tanah menyebabkan kelewatan yang secara tidak langsung memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan memberi tumpuan kepada projek infrastruktur berimpak tinggi seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), landasan berkembar elektrik Gemas ke Johor Bahru.

Iklan

"Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada Projek Sistem Transit Rapid (RTS), Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Central Spine Road dan Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai. Projek-projek ini akan beri limpahan ekonomi yang besar kepada negeri-negeri terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, tanah projek yang melibatkan jajaran diluluskan secara perizaban manakala tapak pusat operasi, pejabat atau stesen diluluskan secara pemberimilikan.

Menurutnya, kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu halangan di atas tanah kerajaan negeri yang terlibat dengan projek-projek kerajaan berkepentingan awam.

"Pada masa sama, perbincangan lanjut akan diadakan berhubung kadar premium yang dikenakan untuk pemberimilikan dan cukai tanah oleh kerajaan negeri selaras dengan ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Tanah Negara," ujarnya.

Jelas beliau, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang akan mula dilaksanakan April 2022 melibatkan 480 lokaliti rintis di seluruh negara.

Menurutnya, BMTKM akan menggunakan pendekatan seperti menubuhkan Unit Kemiskinan khusus pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah selain mewujudkan pangkalan data kemiskinan yang bersepadu serta berpusat.

"BMTKM juga akan mempertingkatkan program pendekatan dari bawah ke atas melalui pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach) dan melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi.

"Program yang bertujuan membasmi miskin tegar pada tahun 2025 ini akan bermula dengan fasa satu melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara. Fasa dua dan fasa tiga akan bermula pada September serta Disember 2022.

"Fasa empat sehingga fasa enam pula akan dilaksanakan pada tahun 2023. BMTKM adalah sejajar dengan dasar dan strategi baharu untuk membasmi kemiskinan tegar RMK12,” ujarnya.

Tambah beliau, mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri.