SPRM tahan 19 kontraktor disyaki kemuka penyata bank palsu

Iklan
S Karunanithy

KOTA KINABALU - Seramai 19 kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan penyata bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS).

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM kira-kira jam 10 pagi Sabtu.

Iklan
Iklan

Sumber itu berkata, penyata bank palsu yang dikemukakan adalah sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa sekolah di seluruh Sabah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan sembilan wanita akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada tahun 2020 seramai 39 kontraktor ditahan pihaknya dipercayai mempunyai modus operandi yang sama melibatkan nilai kontrak lebih RM80 juta.

Iklan

"Susulan daripada tangkapan itu, sebanyak 132 pertuduhan telah berjaya dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah, Sabah tahun lalu.

"SPRM memandang serius berhubung kesalahan itu dan susulan daripada kes berkenaan, beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan," ujarnya

Karunanithy dalam pada itu turut mengingatkan golongan kontraktor supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia adalah satu kesalahan serius.

"Justeru, kita sarankan agar persatuan membabitkan kontraktor mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan ahli mereka supaya tidak sesekali terlibat dengan kesalahan berkaitan.

"SPRM Sabah akan sentiasa bekerjasama dengan persatuan kontraktor bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran golongan ini supaya mereka tidak terlibat dengan mana-mana salah laku khususnya kesalahan berkaitan rasuah," katanya.