Ramli bawa identiti orang asli di Parlimen

Iklan
Ramli. - Foto: Sinar Harian/ZAHID IZZANI

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor tampil dengan kelainan apabila memakai tanjak ketua suku kaum Semai ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Ramli berkata, tanjak yang kebiasaannya dipakai oleh ketua masyarakat orang asli itu dibuat sendiri oleh penduduk di kampungnya sebagai hadiah kepada beliau. Katanya, beliau memakainya ketika berbahas sebagai identiti dan tanda bangga menjadi orang asli pertama mewakili masyarakat itu di Parlimen.

Iklan
Iklan

"Ucapan saya di Parlimen hari ini mewakili suara hati orang asli. Sudah tentu saya berasa megah dan ini satu pengiktirafan kepada masyarakat orang asli keseluruhannya," katanya kepada media di lobi Parlimen.

Terdahulu, dalam perbahasannya, Ramli membangkitkan lapan isu yang melibatkan masyarakat orang asli.

Iklan

Lapan isu tersebut ialah pendidikan; ekonomi; infrastruktur jalan, kemudahan asas dan perumahan; tanah dan kawasan orang asli; mengkaji semula Akta Orang Asli; latihan vokasional; pelan strategik dan kesihatan masyarakat orang asli.

Antara cadangan Ramli dalam perbahasannya ialah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) hendaklah diperkuat dan diperkasakan dengan melakukan penambahbaikan struktur organisasi, peruntukan kewangan dan tenaga pekerja.

Iklan

"Jakoa jangan dijadikan 'port' atau 'cold storage' bagi pegawai-pegawai perkhidmatan awam yang bermasalah agar tidak menggagalkan objektif murni penubuhannya.

"Disarankan juga jumlah orang asli yang berkhidmat di dalam Jakoa ditambah kerana mereka lebih memahami aspirasi orang asli," katanya. Berkenaan Akta Orang Asli, beliau berkata, terdapat keperluan mengkajinya semula bagi melindungi masyarakat orang asli.

"Seksyen baharu dan pindaan undang-undang adalah relevan mengikut peredaran semasa.

"Dicadangkan perkara kepentingan orang asli diletakkan di bawah 'concurrent list' Perlembagaan di mana kebajikan orang asli menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat dan Negeri," katanya.