'Syukur ayah sudah pulang'

Iklan
Kamarulzaman kini ditempatkan di Hoshas bersama Saloha selepas pulang ke tanah air Rabu lalu.

JERANTUT -"Syukur selepas lebih dua tahun tidak jumpa, akhirnya ayah dapat pulang walaupun dalam keadaan begini," kata Muhammad Zafifi Kamarulzaman,28, anak sulung kepada rakyat Malaysia, Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli, 50 yang koma di Korea Selatan Januari lalu.

Bapa kepada enam anak itu pulang ke tanah air Rabu lalu, sebelum ini dilaporkan koma selepas pengsan di rumah sewanya di Korea Selatan pada 23 Januari lalu disebabkan pembuluh darah pecah dan sedar pada 14 Februari lalu ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk di Cheongju.

Iklan
Iklan

Kamarulzaman kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Zafifi berkata, sebelum ini mereka sekeluarga sabar menghitung hari menunggu kepulangan ayahnya ke tanah air.

Iklan

"Walaupun balik dalam keadaan sebegini tetapi kami gembira dan bersyukur kerana ayah dapat di bawa pulang semula ke Malaysia.

"Buat masa ini, kami akan tunggu hingga ayah selesai menjalani rawatan di hospital di Temerloh," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Wan Hayati menemani Kamarulzaman ketika dibawa ke Hoshas pada Khamis .

Iklan

Jelasnya, kali terakhir dia berjumpa ayahnya ketika menghantarnya di lapangan terbang sebelum berangkat ke Korea Selatan untuk bekerja pada Oktober 2019 dengan pekerjaan terkini sebagai operator di sebuah kilang tisu.

Jelasnya, ibunya, Wan Hayati Wan Yaacob, 53, turut gembira dan lega selepas dilanda keresahan sejak ayah mereka koma sebelum ini.

"Memang kami bercadang untuk buat kenduri kesyukuran selepas ayah dibenarkan pulang nanti.

"Terima kasih kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri yang banyak membantu selama ini, selain sepupu ayah, Saloha Adlan yang menjaga ayah sepanjang berada di hospital di Korea Selatan serta pihak-pihak yang lain," jelasnya.