Operasi Stesen Janalektrik Sultan Mahmud, Kenyir ditutup sementara

Iklan
TNB telah mendapat bantuan JKR untuk membersihkan jalan masuk ke SJSM di Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu sebagai laluan sementara bagi membolehkan kerja-kerja baik bulih dilaksanakan. (Gambar kecil: Ir Baharin)

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan Operasi Stesen Janalektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu ditutup sementara bermula Ahad lalu berikutan menara penghantaran voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik dari SJSM kepada Grid Nasional tumbang akibat tanah runtuh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din bagaimanapun berkata, sepanjang penutupan sementara SJSM tersebut, pihaknya memberi jaminan bekalan elektrik kepada pengguna di pantai timur tidak akan terjejas kerana ia boleh ditampung sumber penjanaan lain yang disalurkan menerusi sistem Grid Nasional.

Iklan
Iklan

"Kami menjangkakan kerja baik pulih ini akan mengambil hampir enam bulan kerana ia merangkumi kerja-kerja membersihkan semua halangan dan kelodak banjir, meminimumkan kesan hakisan dan mengelak kemungkinan hakisan lanjut serta selenggaraan pada peralatan dan aset-aset penjanaan.

"Langkah-langkah wajar bagi memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal juga telah diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Hujan lebat luar biasa yang berterusan sejak Jumaat lalu telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM pada jam 4 pagi Ahad, diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen, seterusnya mengalir ke Sungai Terengganu (huluan SJSM).

Tanah runtuh ketiga kira-kira jam 10 pagi Rabu yang sama meruntuhkan sebuah jambatan serta menara penghantaran 132kV itu.

Iklan

Justeru, Baharin berkata, TNB mengambil langkah segera menghentikan operasi SJSM dan mengeluarkan warga kerja sebaik keadaan membolehkan mereka dipindahkan dengan selamat dari stesen itu.

Tambah beliau, TNB turut mengaktifkan Pelan Tindakan kecemasan sebaik kejadian tanah runtuh itu berlaku bagi mengambil tindakan serta-merta untuk menangani situasi tersebut, termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB.

"Langkah-langkah lain turut melibatkan penilaian impak kejadian kepada struktur empangan dan pelaksanaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM.

"Penilaian awal mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Baharin berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun selain mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan.