Isu BDR: MEF harap majikan bertimbang rasa

Iklan

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berpendapat bahawa majikan seharusnya bertimbang rasa untuk memberikan kelonggaran kepada para pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR).

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ini memandangkan ramai staf yang berkeluarga sekarang mahu terus BDR kerana terpaksa berbelanja besar untuk selalu membuat ujian saringan bagi memastikan keluarga selamat.

Iklan
Iklan

Namun begitu, jelasnya, ia tidak melibatkan semua pekerjaan kerana terdapat tugasan tidak sesuai dijalankan secara BDR menyebabkan majikan perlu memanggil pekerja untuk hadir ke pejabat.

"Apabila berlaku kecemasan kesihatan iaitu pandemik Covid-19, maka semua ini telah terjejas dan menyukarkan kedua-dua belah pihak, majikan dan juga pekerja. MEF berpandangan amatlah patut untuk kerja yang boleh dilakukan di rumah dan produktiviti tidak terjejas.

Iklan

"Tetapi semua pihak harus ingat, adakalanya sesuatu kerja dan tugas tidak sesuai untuk dijalankan secara BDR, maka para majikan perlu memanggil pekerja untuk hadir ke pejabat atau ke tempat kerja.

"Dalam situasi begini pekerja perlulah akur dan faham kekangan yang dihadapi oleh majikan dan sepatutnya dengan rela hati ke pejabat atau ke tempat kerja untuk melaksanakan tugas.

Iklan

"Pada hakikatnya hak mutlak untuk menentukan di mana pekerjaan itu harus dijalankan adalah hak majikan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan rata-rata pekerja berharap majikan membenarkan mereka bekerja dari rumah ekoran peningkatan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Mereka yang perlu ke pejabat khuatir mudah dijangkiti dengan varian Omicron yang sudah diketahui amat mudah merebak dan menambahkan lagi jumlah kes positif yang sudah melebihi 30,000 kes harian.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, majikan seharusnya menyediakan ujian saringan Covid-19 sama ada kit ujian pantas (RTK) atau RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) di tempat kerja dan tidak patut membebankan pekerja untuk membuatnya dengan menggunakan duit sendiri.

"Tugas dan tanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja secara umumnya adalah tanggungjawab majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” ujarnya.

Selain itu, MEF memandang positif terhadap BDR kerana mempunyai banyak faedahnya terutamanya di bandar-bandar besar yang sering kali berlaku kesesakan lalu lintas yang teruk.

Jelasnya, banyak tenaga, masa dan sumber dihabiskan berulang alik dari tempat kerja menyebabkan ramai pekerja letih dan lesu sebelum mula menjalankan tugas akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Dengan BDR pekerja tidak runsing dan risau hal ini dan dapat menumpukan perhatian kepada tugasan yang diberikan. MEF menyambut baik sebarang usaha BDR sekiranya ia memberi kesan positif kepada produktiviti dan kualiti kerja para pekerja,” kata beliau.