Agong dimasyhur sebagai Canselor UiTM

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima Watikah Pemasyhuran Canselor daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Istiadat Pemasyuran Yang di-Pertuan Agong sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Istiadat pemasyhuran berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor di kampus induk UiTM di sini.

Iklan
Iklan

Watikah pemasyhuran dipersembahkan kepada Sultan Abdullah oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee semasa membaca watikah pemasyhuran memaklumkan bahawa Seksyen 19A (2) Akta Universiti Teknologi Mara 1976 (Akta 173) memperuntukkan bahawa Canselor ialah Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

Berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 19A (1) Akta berkenaan, Seri Paduka hendaklah mempengerusikan konvokesyen universiti itu.

Dalam titah ucapan baginda, Al-Sultan Abdullah sangat berbangga di atas pemasyhuran baginda sebagai canselor kepada sebuah institusi pendidikan tinggi yang terbukti mempunyai sejarah cukup istimewa, khususnya dalam membina kecemerlangan dan jati diri bangsa Melayu serta bumiputera.

Iklan

Seri Paduka bertitah, UiTM telah memainkan peranan besar dalam melestari darjat serta martabat bangsa peribumi melalui pendidikan tinggi.

"Kerana itulah, universiti ini telah sekian lama berperanan dalam melahirkan modal insan bumiputera yang berkualiti dan berjasa kepada negara.

"Pada hemat saya, universiti ini hendaklah terus mengekalkan visinya iaitu memberi penekanan kepada kelestarian serta kelangsungan bangsa Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan. Ini bagi menentukan bumiputera terus unggul dalam semua bidang profesional bertaraf dunia," titah baginda.

Seri Paduka bertitah, bagi menentukan bangsa Melayu dan bumiputera terus berdaya saing di pentas global, UiTM perlu menyediakan pangajian yang mengkaji pemikiran, kepintaran serta budaya kepelbagaian bangsa merentasi zaman dan semua ini boleh dilakukan tanpa merubah identiti serta matlamat asal penubuhan universiti itu.- Bernama