Kerajaan keluarkan SOP perayaan Maasi Magam, Chingay

Iklan
Hishammuddin - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan perayaan Maasi Magam dan perarakan Chingay yang bakal berlangsung bulan ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penetapan itu adalah hasil daripada pembentangan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam Mesyuarat Kuartet Ke-12 pada Selasa dan ia turut mendapat pandangan serta syor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan
Iklan

Bagi perayaan Maasi Magam yang bermula 16 hingga 19 Februari ini, beliau berkata, SOP dikeluarkan hanya membenarkan individu yang lengkap vaksinasi untuk mengikuti aktiviti keagamaan perayaan tersebut.

Selain itu, antara SOP lain adalah mewajibkan pematuhan amalan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan pemakaian pelitup muka serta vest atau pakaian khusus petugas daripada pihak pengurusan kuil.

Iklan

"Pengurusan kuil bertanggungjawab untuk memastikan kepatuhan penganut terhadap SOP ditetapkan.

"Upacara sembahyang di kuil dibenarkan mengikut SOP pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa (PPN) Fasa Empat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Hishammuddin berkata, kerajaan turut membenarkan perjalanan dan pergerakan kereta Chariot secara bersyarat iaitu penyertaan tidak lebih 50 orang pengiring yang terdiri daripada pihak pengurusan kuil.

Menurut beliau, aktiviti tersebut tidak dibenarkan berhenti di mana-mana lokasi manakala senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Maasi Magam pula perlu mendapat kelulusan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, untuk Perarakan Chingay yang akan berlangsung pada 19 hingga 22 Februari 2022, Hishammuddin berkata, upacara sembahyang dibenar untuk dijalankan di Johor Ancient Temple dan Xing Gong mengikut SOP pembukaan rumah ibadat selain Islam dalam tempoh PPN Fasa 4.

"Upacara Penyucian Jalan dengan mengikut SOP iaitu tidak lebih 100 orang ahli pengurusan tokong dibenarkan pada 19 Februari, senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Chingay perlu mendapat kelulusan pihak PDRM.

"Upacara Pengusungan Dewa Keluar Dari Johor Ancient Temple Ke Xing Gong dengan tidak lebih 200 orang ahli pengurusan tokong dibenarkan pada 20 Februari, senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan juga perlu mendapat kelulusan PDRM,” jelasnya.

Bagi Upacara Kepulangan Dewa Kembali Dari Xing Gong Ke Johor Ancient Temple pada 22 Februari ini pula, Hishammuddin berkata, ia dibenarkan dengan tidak melebihi 200 orang ahli daripada pengurusan tokong dan senarai nama pengiring serta pelan perjalanan dan pergerakan Chingay juga perlu mendapat kelulusan PDRM.