PKR umum calon PRN Johor minggu depan

Iklan
Anwar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan PRN Johor di sini pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan calon-calon yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula minggu hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan pemilihan calon itu sedang dilakukan di peringkat negeri dan akan dimuktamadkan selepas mendapat persetujuan dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Saya sedang bincang dengan (Pengerusi PKR Johor), Syed Ibrahim Syed Noh dan mungkin kita akan umum (calon) paling awal minggu hadapan, tetapi sebahagian sahaja dahulu.

"Untuk calon-calon muda juga kita belum ada keputusan muktamad, kalau ikut mesti ada kita akan menilai semuanya,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) PRN Johor di sini, pada Sabtu.

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai khabar angin Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Besar Johor dari Pakatan Harapan (PH), Anwar memberitahu, perkara itu belum diputuskan.

"Perkara ini memerlukan keputusan pimpinan PH dan kita juga belum ada perbincangan rasmi. Tetapi kita tidak menolak lah mana-mana calon yang boleh diketengahkan, sebab kita sekarang calon pun putus, (Maszlee) masih dalam pertimbangan.

Iklan

"Kebiasaannya kita juga tidak campur calon Parlimen dengan Dewan Undangan Negeri (DUN), itu polisi parti tetapi kita tidak mahu ketat sangat berkenaan perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan PKR Johor secara rasmi akan bertanding 20 kerusi DUN pada kali ini berbanding 12 sahaja kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).