Mat Yo impi julang piala

Iklan
Norshahrul (tengah) giat menjalani sesi latihan bersama Melaka United baru-baru ini. - Foto Facebook MELAKA UNITED FC

PENYERANG baharu Melaka United FC, Norshahrul Idlan Talaha ada menetapkan sasaran peribadi apabila sah menyarung jersi skuad Hang Tuah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Tampil sebagai antara muka baharu, bekas penyerang Harimau Malaya itu yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Yo berazam membantu Melaka United menjulang sekurang-kurangnya satu trofi.

Iklan
Iklan

"Jika diberi peluang sudah tentu saya akan bagi yang terbaik buat pasukan. Apa yang penting kami adalah satu pasukan dan mempunyai satu misi dan matlamat iaitu memberi kemenangan dan kejuaraan kepada pasukan.

"Saya juga mempunyai sasaran sendiri iaitu mahu membantu Melaka United menjulang sekurang-kurangnya satu piala bagi musim ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Iklan

Minggu lalu, Melaka United dalam satu kenyataan memaklumkan Mat Yo menjadi rekrut terbaharu skuad Hang Tuah dalam mengharungi saingan Liga-M musim ini.

Norshahrul yang mewakili Sarawak United FC musim lalu bakal membentuk gandingan mantap bersama dua penyerang import - Ifedayo Olusegun dan Sony Norde.

Iklan

Dalam pada itu, Norshahrul yang dianggap antara penyerang terbaik pernah dimiliki Malaysia memberi bayangan dia akan terus 'menggegar' Liga-M selagi khidmatnya diperlukan.

"Walaupun saya sudah berusia 35 tahun, namun belum terdetik dalam diri untuk bersara memandangkan saya masih menganggap diri saya relevan untuk bermain.

"Sekiranya khidmat saya masih diperlukan oleh Melaka atau mana-mana pasukan yang lain saya akan tetap akan bermain. Bagaimanapun, saya hanya merancang ALLAH yang tentukan,” ujarnya.