Inap desa jadi transit seludup PATI

Iklan
Polis menahan 24 PATI yang disembunyikan di sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus, Pasir Mas sebagai transit selepas menahan dua lelaki di Kampung Repek, Rantau Panjang pada Sabtu.

PASIR MAS - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan inap desa sebagai transit lumpuh selepas polis menahan dua lelaki di Kampung Repek, di sini pada Sabtu.

Kedua-dua suspek berusia 22 dan 24 tahun itu menaiki sebuah kereta Proton Waja yang dilihat dalam keadaan mencurigakan pada jam 12.10 tengah malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, tangkapan itu membawa kepada penahanan 24 PATI warga Myanmar pada jam 1.20 pagi.

"Kesemua PATI itu 'disorok' di sebuah inap desa di Kampung Cherang Hangus di sini. Pemeriksaan mendapati seramai 18 lelaki dan enam wanita berada dalam inap desa itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau memberitahu, kedua-dua tekong darat itu mengaku terlibat dalam aktiviti tersebut.

Tambah beliau, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Lubok Stol, Rantau Panjang dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Iklan

"Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat sebagai tekong darat sebanyak 14 kali dengan membawa PATI melalui arahan seorang lelaki warga Myanmar dikenali sebagai Apik," katanya.

Menurutnya, berpandukan kepada maklumat daripada ketiga-tiga suspek, polis menyerbu satu lokasi di Kampung Tasik, Rantau Panjang dan menahan Apik atau nama sebenar Akthar Hussin.

"Ketiga-tiga suspek yang ditahan mengaku bertindak sebagai ejen untuk membawa masuk PATI melalui Thailand.

"Mereka turut mengaku bahawa Apik yang memberi arahan untuk mengambil dan memindahkan PATI ke inap desa," katanya.