KUALA LUMPUR - Pas akan menyatakan pendirian parti sama ada mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) atau bertanding secara sendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan tarikh pengundian.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana masih terlalu awal untuk membuat ketetapan memandangkan suruhanjaya itu belum lagi bermesyuarat.
Bagaimanapun Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, Pas sentiasa berunding dengan semua pihak untuk mencapai suatu yang baik bagi kestabilan politik dan negara.
"Kita tidak pernah putus mengadakan perundingan dengan semua pihak.
Malah, Presiden (Tan Sri Abdul Hadi Awang) pun mengadakan perundingan dengan semua parti politik yang utama dalam negara kita.
"Dasar kita, Pas ini terbuka (bekerjasama dengan mana-mana pihak) untuk mencapai satu kestabilan politik dan negara," katanya ketika ditemui dalam Program Edaran Buah Limau Kepada Masyarakat Tiong Hua Sempena Tahun Baru Cina di sekitar Pejabat Agung Pas di sini pada Jumaat.