Kerjasama pembangkang: Muda bincang pendirian malam ini

Iklan
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan bermesyuarat malam ini untuk membuat ketetapan mengenai pendirian dan bentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda malam ini berkaitan isu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Berkenaan strategi dan gabungan kerjasama (dengan parti pembangkang), Muda akan berbincang secara dalaman di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti.

"Kami dan akan keluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat berkenaan pendirian Muda dalam menghadapi PRN Johor selepas mesyuarat nanti,” katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan berkaitan isu Penyerahan Memorandum Darurat Banjir dan Krisis Iklim di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada petang Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pendirian parti itu terhadap pelawaan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu blok pembangkang baharu diwujudkan bagi menghadapi PRN Johor.

Katanya lagi, pendirian Muda jelas mahu membina Malaysia maju dan mengangkat semula martabat bangsa Johor berbilang bangsa

Iklan

"Muda akan tampil dengan pendirian kami sebagai satu parti yang kini sudah berdaftar sepenuhnya dan akan berjuang untuk kepentingan rakyat Johor,” katanya.

Beliau walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai strategi yang bakal diguna pakai dalam PRN kali ini.

"Saya tak tahu strategi akan dibincang atau tidak, tapi jelas Johor memerlukan keputusan kolektif dari Muda. Ketetapan saya dan parti akan dibuat bersama,” ujarnya.

Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan bahawa semua parti pembangkang, termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Warisan perlu bekerjasama bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.