Polis 'teropong' aktiviti jual sijil digital vaksin Covid-19 palsu

Iklan
PDRM memandang serius tindakan kumpulan atau individu yang menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu. - Gambar hiasan

BERITA tertangkapnya seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun di Marang, Terengganu kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid 19 pada 10 Januari lalu sememangnya 'menggegarkan' Malaysia.

Bukan kisah aktiviti penjualan sijil vaksin itu yang mengejutkan kerana ramai sudah menjangkakan 'aktiviti' itu akan berlaku kerana orang Malaysia sememangnya diketahui sangat kreatif.

Iklan
Iklan

Apa yang mendukacitakan, dalangnya adalah seorang pengamal perubatan atau dalam bahasa mudahnya doktor yang diharap memainkan peranan untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya pengambilan vaksin itu, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Namun, tindak tanduk golongan yang terlibat dalam pemalsuan sijil vaksin Covid-19 tidak lagi tenang apabila polis kini memantau secara serius aktiviti tersebut.

Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur pada Rabu menegaskan, beliau telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menjalankan risikan dan mengesan sindiket yang terlibat dalam aktiviti penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu.

Jelas Acryl Sani, pihaknya memandang serius tindakan kumpulan atau individu yang menjalankan aktiviti penjualan sijil palsu itu.

Iklan

Pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din memaklumkan, setakat ini hanya satu kes dikesan berkenaan aktiviti penawaran sijil vaksin palsu.

Suspek merupakan seorang pengamal perubatan berusia 51 tahun ditahan di Marang Terengganu kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid 19 tanpa memberikan suntikan vaksin sebenar.

Kamarudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan itu digesa menyalurkan maklumat tersebut kepada polis.

Dalam pada itu, lima individu termasuk mereka yang pernah mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dari sebuah klinik swasta di Marang dilaporkan bersedia menjadi saksi kes berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa dalam sidang akhbarnya di Kuala Terengganu, Terengganu berkata, kesemua mereka tampil secara sukarela bagi membantu siasatan kes penjualan sijil vaksinasi palsu itu.

Justeru, bagi mereka yang mempunyai hasrat untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu supaya menghentikan segera tindakan mereka.