15 individu direman kemuka penyata akaun bank syarikat palsu

Iklan
Sebahagian suspek dibawa pegawai SPRM ke lokap Mahkamah Alor Setar untuk mendapat perintah reman pada Selasa.

ALOR SETAR - Seramai 15 individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Nor selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah.

Iklan
Iklan

Siti Norhidayah membenarkan perintah reman terhadap semua suspek berusia 31 hingga 68 tahun itu antara tiga hingga lima hari bermula Selasa.

Kesemua suspek merupakan antara 21 individu ditahan pada Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, bagaimanapun enam lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Iklan

Sebelum itu, mereka tiba ke lokap Mahkamah Alor Setar di Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini untuk mendapatkan perintah reman dengan menaiki kereta polis dan diiringi pegawai SPRM.

Pada Isnin, seramai 21 suspek berusia antara 31 dan 77 tahun terdiri daripada pemilik, pengarah dan pengurus syarikat selain kontraktor serta bekerja sendiri ditahan secara berasingan di sekitar Bangi, Selangor dan Pejabat SPRM Kedah di sini.

Iklan

Mereka ditahan kerana dipercayai mengemukakan penyata akaun bank milik syarikat yang mempunyai butiran palsu kepada sebuah syarikat pembersihan untuk melayakkan syarikat mereka memasuki tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi dilaporkan mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.