Bekas peguam didakwa pecah amanah RM1.34 juta

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang bekas peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Rabu atas 18 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang sebuah firma guaman berjumlah RM1.34 juta, lima tahun lalu.

Loo Keong Loong, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Datin Sabariah Othman.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-18, lelaki itu didakwa sebagai seorang daripada rakan kongsi di Tetuan Yap & Loo yang diamanahkan dengan wang dalam akaun amanah pelanggan iaitu akaun CIMB bank milik firma itu, telah melakukan pecah amanah dengan mengambil wang berjumlah RM1,348,584.50 menggunakan 18 cek untuk kegunaannya.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di firma guaman tersebut di Jalan Solaris Mont Kiara di sini di antara 6 Januari dan 23 Februari 2016, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan penjara maksimum 20 tahun, dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan tiga orang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri dan Nur Aqilah Ishak manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Teck Yew. - Bernama