Kartel daging: Syarikat, pengurus akauntan didakwa 16 pertuduhan AMLA

Iklan
Kim Kuang ( dua dari kiri) dan Yee Xin ( dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap pertuduhan kes pengubahan wang haram antara Oktober 2018 hingga Disember tahun lalu.

JOHOR BAHRU- Sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku bersama dua pengarah, pengurus stor dan akauntannya, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 16 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM13.28 juta antara Oktober 2018 hingga Disember tahun lalu.

Tertuduh iaitu Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, dua pengarahnya, Yong Chee Keong, 40, dan Tan Siew Huak, 42, pengurus stor, Chong Kim Kuang, 48, serta akauntan, Ng Yee Xin, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Siew Huak gagal hadir kesemua prosiding kes membabitkan kartel daging sejak Febuari lalu, menyebabkan mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menerima wang yang merupakan hasil penggubahan wang haram berjumlah RM13.28 juta dari sebuah akaun semasa milik LY Frozen bagi tempoh 31 Oktober 2018 sehingga 31 Disember 2020 di dua cawangan bank berbeza di Senai, Kulai dan Taman Molek, di sini.

Iklan

Bagi pertuduhan itu, kesemua tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum menurut Seksyen 4 (1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Iklan

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan dan Norazihah Asmuni, memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh.

Namun, peguam memohon mahkamah mengguna pakai wang jaminan yang ditetapkan sebelum ini berikutan mereka telah membayar jaminan RM660,000 untuk pertuduhan awal.

Peguam juga memohon supaya jaminan ke atas Yee Xin ditetapkan pada kadar antara RM50,000 hingga RM60,000 berikutan wanita berkenaan sudah tidak lagi bekerja.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan LY Frozen dan Chong masing-masing sebanyak RM250,000 dengan mengguna pakai wang jaminan yang telah dibayar untuk kes terdahulu, sementara Ng diarah membayar RM150,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada Selasa. Prosiding pada Isnin merupakan kes kali ketiga kartel daging sejuk beku membabitkan syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengarahnya Siew Huak, yang masih bebas dan Chee Keong serta pengurus stor syarikat itu Kim Kuang.

Pada 2 Disember tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan khasnya mendedahkan kegiatan kartel mengimport daging dari beberapa negara yang tidak halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual dan dibekalkan di pasaran tempatan.

Kegiatan kartel berkenaan terbongkar menerusi serbuan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) bersama-sama agensi lain di sebuah stor di Skudai, dekat sini.