DAP, PSB pencabar utama GPS

Iklan
Abdul Karim Rahman Hamzah - Foto Bernama

KUCHING - Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) diperakui akan menjadi pencabar besar kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dua parti blok pembangkang utama itu dilihat lebih dominan daripada parti yang lain.

Iklan
Iklan

"Bagi parti pembangkang lain seperti Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), secara peribadi saya merasakan parti-parti itu sebagai 'parti penjelmaan semula' daripada parti lain sebelum ini.

"Saya merasakan mereka berkemungkinan besar tidak akan memenangi satu pun kerusi (DUN) termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kalau parti Bebas berkemungkinan menang satu kerusi," ujar beliau lagi.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Program Sembang Politik PRN12 bertajuk PRN Sarawak: Mampukan GPS pertahan majoriti 2/3? di studio mini Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak di Samudra Hotel di sini, pada Selasa.

Tajuk itu dibincangkan bersama-sama penganalisis politik tempatan merangkap pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Lucy Sebli Seidelson dan moderatornya, bekas Editor Kanan Berita Harian, Kadir Dikoh.

Iklan

Tambah Abdul Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), meskipun terdapat beberapa kerusi yang sukar dimenangi atas faktor-faktor yang berbeza, beliau tetap optimis GPS akan memenangi PRN secara keseluruhannya.

"Berdasarkan pengalaman saya, mungkin lebih daripada 10 kerusi kita akan kalah, termasuk kawasan yang GPS dilihat goyah. Namun, kita (GPS) tidak akan menyerah begitu sahaja.

"Ada kemungkinan berlakunya pecah undi dalam kalangan blok pembangkang, yang akhirnya memberi kelebihan pada kita dan kita berjaya mengambil kerusi tersebut, kita tidak tahu apa yang akan berlaku nanti,” tambahnya.

Beliau berkata, kunci kemenangan bukan hanya terletak kepada personaliti calon itu semata-mata, namun bergantung kepada kekuatan dan gerak kerja jentera parti.

Abdul Karim turut bersetuju dengan hujah Dr Lucy yang berpendapat kebanyakan calon pembangkang yang bertanding hanya berkempen ketika menjelang pilihan raya semata-mata.

"Jentera kita sudah lama memulakan kerja (kempen), jadi berkempen pada saat akhir bukan masalah untuk kita.

"Ada daripada calon parti lain yang sudah hampir pilihan raya baru muncul, sama seperti cendawan tumbuh selepas hujan, sehingga rakyat sendiri keliru tidak tahu siapa calon yang bertanding,” jelasnya lagi.

Sementara itu, calon kerusi DUN Asajaya itu turut meraikan penyertaan 10 parti dalam PRN Sarawak kali ini dan menyifatkan kecenderungan minat terhadap politik sudah semakin meningkat dalam kalangan rakyat.


Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my