Rakyat Malaysia antara paling ramai layari laman web lucah

Iklan
Gambar hiasan 123rf

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) digesa supaya mengambil tindakan atau langkah yang lebih berkesan untuk menyekat laman web pornografi daripada terus dilayari rakyat di negara ini.

Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) berkata, ini kerana laporan mendapati akses laman web itu semakin membimbangkan dalam kalangan rakyat pada hari ini.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ia dibuktikan apabila statistik menunjukkan rakyat Malaysia antara paling ramai melayari laman web lucah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Walaupun statistik yang dikeluarkan dalam tempoh PKP, namun saya yakin bahawa individu yang terjebak menonton pornografi ini sebahagian besarnya akan hadapi ketagihan terhadap bahan seumpama itu.

Iklan

"Oleh itu, saya berpandangan kerajaan perlu melakukan tindakan atau langkah yang lebih berkesan untuk membendung dan menyekat laman web yang seumpama ini.

"Ini kerana ketagihan terhadap pornografi akan melahirkan generasi yang mungkin sihat secara fizikalnya tetapi mempunyai mental yang berpenyakit,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi KKMM di Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Pada 30 November lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa sejumlah 4,068 laman pornografi telah disekat oleh Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari tahun 2018 hingga 30 September tahun ini.

Katanya, langkah itu diambil bagi membendung adegan seksual dan kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada dilayari rakyat di negara ini.

Menurut beliau, selain penyekatan akses kepada laman web terlibat, pihaknya turut melakukan pendakwaan dan tindakan undang-undang.