China kekal pacu pertumbuhan ekonomi global

Iklan
Foto 123rf

BEIJING - China akan terus memainkan peranan sebagai penggerak dalam memacu pertumbuhan ekonomi global, kata Ketua Meja China di Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr. Margit Molnar.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG) pada Rabu selepas laporan prospek ekonomi terkini dikeluarkan.

Iklan
Iklan

Menurut laporan OECD tersebut, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China dijangka menokok 8.1 peratus tahun ini, iaitu hanya memerlukan 0.4 peratus lagi untuk menyamai unjuran 8.5 peratus yang dibuat pada September.

Molnar berkata, penurunan unjuran itu mengambil kira kelembapan relatif dalam pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua tahun ini. Namun, ekonomi China pulih lebih awal dan kini telah kembali ke landasan normal.

Iklan

Beliau beranggapan, pertumbuhan ekonomi China masih mampu melepasi kadar lapan peratus pada tahun ini.

"Kami yakin sumbangan China bagi pertumbuhan ekonomi sejagat akan kekal pada sekitar 27 hingga 28 peratus dalam jangka masa sederhana,” katanya.

Iklan

Daripada perspektif lain, pakar ekonomi bimbang bahawa kemunculan varian Omicron dan rintangan dalam penawaran secara berterusan juga menjadi dua faktor risiko yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi dunia.

OECD meramalkan kadar inflasi keseluruhan negara OECD kemungkinan mencapai tahap kemuncaknya menjelang hujung tahun ini.

Kadar itu dijangka menurun kepada kira-kira tiga peratus pada 2023, namun varian Omicron mungkin sedikit sebanyak membawa unsur ketidaktentuan terhadap unjuran berkenaan. -Bernama