Perdana Menteri adakan lawatan rasmi pertama ke Singapura

Iklan
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Republik Singapura esok.

Menurut kenyataan media Kementerian Luar Negeri, lawatan itu adalah bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Republik Singapura, Lee Hsien Loong dan bersempena pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi antara Malaysia dan Singapura melalui udara dan sempadan darat.

Iklan
Iklan

"Perdana Menteri dijadual akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Singapura, Halimah Yacob dan perjumpaan dengan Hsien Loong.

"Semasa perjumpaan tersebut, kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura, termasuklah meneroka peluang kerjasama yang baharu terutamanya dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19,” kata kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut kenyataan tersebut, kedua-dua Perdana Menteri akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Lawatan rasmi tersebut akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Republik Singapura.

Iklan

Lawatan tersebut diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, dan pegawai-pegawai kerajaan daripada kementerian dan agensi yang berkaitan.