'Jangan beri tekanan kepada Aifa'- Ahmad Faizal

Iklan
Aifa Azman FOTO: Aifa Azman

IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan memberi sebarang tekanan kepada pemain skuasy remaja negara, Aifa Azman bagi menggantikan Datuk Nicol Ann David berikutan kejayaannya di Terbuka Malaysia 2021.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemain berusia 19 tahun itu telah mencipta pencapaian membanggakan dan mempunyai potensi cukup besar untuk melakar lebih banyak kejayaan dalam kejohanan yang disertai.

Iklan
Iklan

"Saya memang kagum dengan pencapaian Aifa. Beliau adalah seorang pemain yang sangat berpotensi.

"Saya harap beliau akan terus berjaya, namun kita tidak perlu berikan tekanan cukup kuat atau yang terlalu besar kepada dirinya untuk menggantikan Nicol David sebagai ratu skuasy atau sebagainya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah Perak Food Bank bersama Kiwanis Jelapang di Dewan Serbaguna Kampung Tersusun Tawas Tambahan di sini pada Ahad.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Food Bank Perak, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Pada Sabtu, Aifa Azman menjuarai Terbuka Malaysia 2021 apabila menundukkan pilihan utama yang juga pemain di ranking kelapan dunia, Salma Hany dari Mesir di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Iklan

Ahmad Faizal berkata, paling penting ketika ini adalah doa dan sokongan berterusan kepada pemain muda itu agar dapat mencipta kejayaan mengharumkan nama negara di persada dunia.

"Kita berdoa dan bagicsokongan supaya beliau dapat mengibarkan panji-panji negara dalam semua kejohanan yang beliau sertai dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) itu menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan pengambilalihan Perak FC daripada sebuah syarikat pengiklanan, Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd seperti yang didakwa warganet dalam media sosial.

"Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tidak ada kena mengena dengan syarikat yang mengambil alih Perak FC.

"Namun sudah tentu, saya dan seluruh penyokong bola sepak Perak akan beri sokongan berterusan. Jagalah pasukan ini dengan baik dan pastikan lakukan perkara-perkara yang betul demi kepentingan pasukan," katanya.

Beliau berkata, rakyat dan penyokong bola sepak negeri ini mempunyai harapan besar untuk melihat pasukan itu berjaya dan menjadi satu kuasa bola sepak besar di dalam negara.

Pada Selasa, PAFA mengumumkan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk itu dijual kepada syarikat berkenaan.